Perutusan Khas Sempena Sambutan
Hari Krismas 2025 & Tahun Baru 2026
YBhg.Tuan Michel Alok
Presiden Parti Impian Sabah (PIS)
Salam Sejahtera dan Salam Hormat kepada seluruh rakyat Sabah yang dikasihi.
Sekali lagi, suasana kegembiraan menyelubungi bumi bawah bayu. Bagi pihak seluruh kepimpinan Parti Impian Sabah, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada yang beragama Kristian dan Selamat Tahun Baru 2026 kepada semua warga Sabah!
Krismas adalah simbol Kasih, Damai dan Harapan. Hari Krismas adalah detik untuk kita merayakan keamanan, kesyukuran dan semangat memberi. Di Sabah, kita bertuah kerana perayaan ini bukan sahaja disambut oleh penganut Kristian, tetapi turut dikongsi bersama oleh rakan-rakan daripada pelbagai latar belakang dan budaya. Inilah identiti jati diri kita; sebuah keluarga besar yang saling menghormati dan menyayangi di tanah air tercinta ini.
Marilah kita ambil peluang ini untuk mengeratkan silaturahim, mengunjungi rakan taulan dan membantu mereka yang kurang bernasib baik. Semoga terang Krismas membawa kedamaian dan kebahagiaan ke dalam setiap rumah di seluruh pelosok wilayah kita.
Sambil kita bersiap sedia untuk menutup tirai tahun 2025, marilah kita merenung sejenak pencapaian dan cabaran yang telah kita lalui. Kita sedar, masih banyak ruang yang perlu diperbaiki terutamanya dalam memastikan kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik dan rangkaian jalan raya yang sempurna dapat dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat dari bandar hingga ke pedalaman.
Melangkah ke tahun baharu, perjuangan kita untuk “Impian Sabah” tetap teguh. Kami di Parti Impian Sabah akan terus konsisten:
1. Menuntut hak Sabah dalam MA63.
2. Memastikan ekonomi rakyat terus diperkasa.
3. Menjaga keharmonian wilayah kita sebagai asas kestabilan.
Marilah kita tutup tirai 2025 dengan kesyukuran dan buka lembaran 2026 dengan azam untuk melihat Sabah yang lebih progresif, inklusif dan berdaulat.
Semoga cahaya perayaan ini mengalirkan kasih, kedamaian dan harapan kepada kita semua untuk memasuki tahun 2026 dengan membawa sinar kesihatan jasmani maupun rohani yang baik, kelimpahan rezeki dan ketabahan buat kita semua dalam menghadapi apa jua cabaran.
Selamat Hari Krismas & Tahun Baru 2026!
Dengan Ingatan Tulus Ikhlas,
Presiden & Kepimpinan
Parti Impian Sabah