Saya amat tertarik dengan;
-
Hikmah mengenai sejarah Sabah dalam pembentukan Malaysia,
-
Penetapan 20 Perkara dalam Perjanjian Penubuhan Malaysia 1963,
-
Perebutan kuasa antara pemimpin untuk memerintah Sabah,
-
Tahap kerugian Sabah dari perjanjian dengan PETRONAS,
-
Kemunduran dan kemiskinan Sabah setelah 60 tahun merdeka,
-
Kenapa ramai pemimpin Sabah masih menyokong parti-parti yang berasal dari Semenanjung Malaysia,
dan
-
Adakah Sabah lebih maju dan makmur tanpa terikat dengan parti-parti dari Semenanjung Malaysia?
Perebutan kuasa di antara para pemimpin dari Tanah Melayu dan Sabah telah pun berlaku sejak awal penubuhan Negara Malaysia. Kekalutan ini berlaku apabila parti-parti yang memerintah di Sabah ketika itu tidak menyokong atau mengikut arahan pihak Persekutuan Tanah Melayu. Ia bermula pada era pemerintahan Tun Datu Mustapha Datu Harun, iaitu Ketua Menteri Sabah merangkap Presiden Parti USNO.
Kepimpinan Semenanjung Malaysia menubuhkan Parti Berjaya kerana Tun Mustapha tidak mengikut telunjuk mereka. Tujuan Parti Berjaya yang diketuai oleh Tun Fuad Stephens (Donald Stephens) adalah untuk menjatuhkan kepimpinan Tun Mustapha. Malangnya Tun Fuad Stephens juga tidak sehaluan dengan Semenanjung Malaysia maka terjadilah peristiwa ‘Double 6’ yang mengerikan. Detik hitam dalam sejarah Sabah itu telah mengorbankan beberapa pemimpin pengasas Penubuhan Malaysia dalam nahas kapal terbang yang dinaiki mereka di Labuan.
Datuk Haris Salleh telah menggantikan Tun Fuad Stephens sebagai Presiden Parti Berjaya dan menjadi Ketua Menteri Sabah. Perlembagaan Malaysia yang dibentuk pada tahun 1963 telah diceroboh pada bulan Jun 1976 selepas mereka mendapat seorang Ketua Menteri yang mengikut arahan mereka. Tindakan tersebut telah menyebabkan kerugian tidak terhingga kepada rakyat Sabah terutamanya hasil sumber semulajadi, percukaian dan pembangunan infrastruktur.
Ideologi bahawa Sabah memerlukan sokongan parti-parti dari Semenanjung Malaysia dalam melaksanakan rancangan-rancangan kesejahteraan rakyat untuk membantu Sabah keluar dari garis kemiskinan masih kekal sehingga hari ini. Untuk makluman, sudah ada 6 parti politik yang berasal dari Semenanjung Malaysia bertapak di Sabah iaitu UMNO, KEADILAN, AMANAH, DAP, PPBM dan PAS.
Namun Sabah masih belum keluar dari garis kemiskinan semenjak pembentukan Malaysia pada tahun 1963. Fakta-fakta lalu menunjukkan tujuan para pemimpin dan parti-parti dari Semenanjung Malaysia berusaha menguasai pemerintahan di Sabah bukan sahaja mendapatkan majoriti kerusi pilihan raya untuk membentuk kerajaan persekutuan tetapi juga kerana kekayaan sumber aslinya.
Pergolakan arena politik, kelewatan pembangunan infrastruktur, kemuraman iklim ekonomi dan masalah sosial di Sabah kebelakangan ini berada di tahap yang membimbangkan. Kerajaan negeri kerap melaksanakan dasar-dasar dan perancangan-rancangan pembangunan yang berubah-ubah mengikut agenda kepimpinan parti-parti memerintah.
Kekurangan pengetahuan dan kemahiran sebahagian pemimpin serta portfolio kementerian turut menyebabkan pelaksanaan dasar-dasar ekonomi yang kurang kompetitif, program-program kesejahteraan rakyat yang kurang efektif, strategi-strategi pembangunan yang kurang berkesan, pembaziran sumber kekayaan negeri dan sistem pentadbiran yang kurang efisien.
Praktis memberi imbuhan lumayan kepada pihak-pihak tertentu untuk menyemai ideologi politik wang agar diterap dalam budaya kita sering dilakukan. Ramai rakyat Sabah telah dikaburi oleh imbuhan lumayan dari menyedari maksud sebenar ideologi politik sihat. Perbuatan ini tidak seharusnya berlaku kerana ideologi politik wang mendorong golongan pemimpin muda dan kerajaan memerintah untuk meneruskan amalan tersebut.
Secara tidak langsung politik wang telah menyebabkan perkara-perkara berikut:
- Maruah rakyat Sabah sudah tergadai dengan wang ringgit.
- Pemimpin tidak berkaliber boleh menjadi Wakil Rakyat.
- Rakyat melabelkan politik itu kotor dan sukar untuk diubah.
- Calon yang berkaliber dan berjiwa rakyat susah untuk menjadi Wakil Rakyat seandainya tidak mengamalkan politik wang.
- Sabah tidak akan mendapat Wakil Rakyat yang mahir, bersih, cekap dan amanah.
- Wakil Rakyat yang menang fokus untuk mendapat balik wang yang digunakannya semasa pilihan raya umum.
- Budaya lompat parti tidak akan dapat dibendung.
- Pembentukan kerajaan pemerintah yang tidak stabil.
- Kemiskinan dan kemunduran di Sabah tidak dapat diatasi.
- Sabah akan terus berada di bawah pengaruh Semenanjung Malaysia.
- Keinginan mendapatkan kuasa autonomi memerintah tidak tercapai.
- Tuntutan rakyat Sabah terhadap hak-hak Sabah seperti termaktub dalam MA63 tidak dapat dicapai sepenuhnya.
- Hasil sumber asli dan kekayaan Sabah tidak dapat dinikmati sepenuhnya oleh rakyat Sabah.
- Para pelabur luar kurang berminat untuk melabur di negeri kesayangan kita.
Cara berpolitik yang keterlaluan tanpa had masa turut mencemarkan keharmonian di kalangan rakyat sehingga berlaku perpecahan dalam sesebuah keluarga. Perpecahan ahli keluarga berlaku disebabkan emosi peribadi dan tiada kematangan dalam memahami peranan dan landasan politik. Perselisihan faham atas perbezaan ideologi parti disokong wujud berterusan walaupun selepas pilihan raya sehingga keharmonian kaum dan agama turut terjejas.
Parti politik merupakan pertubuhan yang menyatukan individu-individu untuk berjuang bersama-sama demi merealisasikan impian kemakmuran rakyat melalui proses demokrasi. Politik adalah satu landasan yang baik. Namun ia telah dicemari dengan amalan menggunakan wang untuk mendapatkan sokongan oleh sesetengah pihak yang mementingkan agenda-agenda tertentu.
Kenapa ini boleh berlaku?
Ramai rakyat Sabah masih dibelenggu oleh kemiskinan dengan kehidupan yang mundur dan sukar. Kehidupan yang susah menyebabkan mereka menerima apa sahaja bantuan dari mana-mana pihak untuk sara hidup. Peluang ini telah digunakan oleh sesetengah ahli politik untuk meraih sokongan tanpa memahami dengan lebih mendalam kesan negatif mempraktikkan budaya politik tidak baik. Akibatnya sebilangan besar pemimpin parti-parti politik di Sabah terperangkap di dalam situasi yang sangat sukar untuk diubah.
Cabaran kesukaran hidup rakyat, kedahagaan untuk pembangunan setaraf dengan Semenanjung Malaysia, kebergantungan dana pembangunan negeri dengan kerajaan persekutuan, masalah sosial yang tiada penyelesaian, pengurusan khazanah sumber alam tidak mampan, ideologi politik yang tidak sihat, sistem pentadbiran yang kurang efisien dan pergolakan arena politik yang tiada kesudahan telah mencapai tahap yang membimbangkan. Keadaan ini boleh menyebabkan sistem demokrasi di Sabah runtuh sekiranya rakyat masih berdiam diri kerana melabelkan politik sebagai landasan mencari kekayaan atau tidak wujudnya parti yang berpolitik secara berintegriti, amanah dan ikhlas memajukan Sabah.
Saya berkeyakinan bahawa scenario politik dan kelembapan pembangunan di Sabah boleh diperbaiki. Rakyat Sabah belum terlambat untuk membawa Sabah ke masa depan yang lebih maju, teratur dan pesat demi kemakmuran bersama. Namun rakyat Sabah perlu membuat keputusan untuk bertindak sekarang.
Untuk merealisasikan impian ini, Sabah memerlukan sebuah parti politik yang benar-benar memegang kepada prinsip politik amanah, beretika dan tidak dipengaruhi oleh politik kuasa atau wang. Sabah memerlukan barisan pemimpin yang berintegriti, berkaliber dan berkelayakan untuk merealisasikan impian kita. Mereka perlu mempunyai misi dan visi yang jelas, inovatif dalam menyelesaikan masalah rakyat dan melaksanakan rancangan jangka masa panjang yang jitu untuk kemakmuran Sabah.
Para pemimpin parti baru ini bertekad untuk:
Saya memilih jalan sukar demi tanah tumpah darah saya dengan menubuhkan sebuah parti baru yang berpegang kepada lima teras utama untuk keutuhan parti dalam merealisasikan impian rakyat Sabah.
Selain memperjuangkan hak-hak rakyat Sabah, parti baru yang saya tubuhkan ini turut menjadi landasan untuk:
01
Memulihkan persepsi rakyat Sabah bahawa politik berintegriti, bersih dan amanah boleh dicapai.
02
Rakyat Sabah yang ingin berjuang bersama-sama untuk mencapai impian dan kemakmuran di bawah naungan sebuah parti baru.
03
Membentuk para pemimpin yang berkelayakan dan berakhlak mulia untuk membangunkan Sabah di bawah naungan sebuah parti.
04
Strategi pilihan raya yang boleh memperolehi kejayaan agar dapat melaksanakan pemulihan dan pembangunan Sabah secara teratur dan jitu.
Saya berharap tuan-tuan dan puan-puan menyokong Parti Impian Sabah (PIS) berdasarkan kelebihan berikut:
01
Parti Impian Sabah adalah parti yang tidak terikat dengan mana-mana pemimpin atau parti dari Semenanjung Malaysia.
02
Parti Impian Sabah menampilkan barisan pemimpin yang berintegriti, berkaliber, berkelayakan dan berjiwa Sabah demi membangunkan tanah air yang kita cintai.
03
Parti Impian Sabah menerapkan prinsip & dasar-dasar kesejahteraan rakyat yang diimpikan rakyat Sabah.
04
Parti Impian Sabah adalah berbeza daripada parti-parti politik sedia ada dari segi teras, dasar, struktur pentadbiran, perlembagaan dan pelaksanaan.
05
Parti Impian Sabah memiliki ideologi realistik dan amat diharapkan oleh rakyat Sabah.
06
Parti Impian Sabah dapat membawa Sabah ke masa depan yang lebih makmur.
07
Parti Impian Sabah komited untuk menuntut hak-hak rakyat Sabah seperti yang tertulis dalam 20 perkara yang termaktub dalam Perjanjian Penubuhan Malaysia 1963 (MA63).
08
Parti Impian Sabah yakin boleh mencapai matlamat parti dengan amalan sistem pentadbiran yang cekap, bersih dan amanah.
Saya dengan seikhlas hati menjemput tuan-tuan dan puan-puan untuk memberi peluang dan kepercayaan kepada Parti Impian Sabah dan berjuang bersama-sama sekali lagi untuk mencapai impian rakyat Sabah.
SABAH BERSATU, BANGKIT, BERSINAR
Visi, Misi & Matlamat Presiden
Sebab-sebab Utama Presiden
Menubuhkan Parti Impian Sabah
Parti Impian Sabah ditubuhkan dengan harapan untuk:
Latar Belakang
Beliau lahir di Kampung Panimbanan Daerah Telupid dan membesar di Kg. Manduring bersama dengan ibu dan bapa beliau. Bapa beliau bekerja di kem kayu balak KongBorneo ketika itu.
Beliau bersekolah di Sekolah Rendah Sungai Sapi pada tahun 1975. Beliau berjalan kaki ke sekolah setiap hari. Perjalanan beliau mengambil masa lebih kurang setengah jam kerana sekolah itu terletak lebih kurang 2 km dari tempat tinggal beliau. Tidak dapat bersekolah pada musim hujan kerana bahaya untuk berjalan kaki melalui hutan dan pakaian akan basah kuyup. Syukur kepada Tuhan atas perlindunganNya selama 6 tahun tersebut.
Keluarga beliau berpindah ke Kg. Muanad 1 di Beluran dalam tahun 1981 selepas kem kayu balak ditutup dan untuk membolehkan beliau masuk ke Tingkatan 1 di SMK Beluran. Bapa beliau hanya dapat bekerja di kebun-kebun getah dan buah-buahan ketika itu sebab dia tidak pernah bersekolah. Beliau membantu bapa beliau pada hujung minggu dan musim cuti sekolah.
Beliau bersekolah Tingkatan 4 di SMK Sandakan pada tahun 1984 dalam Aliran Sains. Atas berkat Tuhan, beliau telah mendapat keputusan cemerlang SPM dan ditawarkan kursus Diploma Kejuruteraan Elektrikal di UITM Shah Alam, Selangor pada tahun 1986. Beliau merupakan pelajar pertama dari Daerah Beluran dan Telupid yang mengikuti kursus diploma kejuruteraan di UITM. Beliau melalui pelbagai cabaran semasa belajar di UITM kerana berada di negeri yang mempunyai budaya, bangsa dan cara hidup yang berbeza dari Sabah.
UITM telah menawarkan kursus Sarjana Kejuruteraan kepada beliau berdasarkan keputusan cemerlang kursus diploma beliau. Walau bagaimanapun, beliau menolak tawaran tersebut untuk tidak terus membebankan kedua orang tua beliau yang sudah berumur. Beliau membuat keputusan untuk bekerja supaya dapat menjaga mereka. Beliau mengambil Executive Master Degree dalam bidang Perniagaan di Asia e University untuk mendalami pengetahuan dunia perniagaan pada tahun 2017.
Beliau sangat bersyukur kepada Tuhan atas berkat dan kemurahanNya menjaga kesihatan, keperluan keluarga dan perbelanjaan pengajian beliau pada masa itu sehingga beliau dapat menghabiskan kursus diploma yang penuh dengan rintangan dan dugaan.
Kerjaya
Beliau membuat keputusan untuk kembali ke Sabah selepas menamatkan pengajian pada tahun 1988 walaupun telah menerima tawaran bekerja di Kuala Lumpur. Beliau membuat keputusan sedemikian untuk bekerja di kawasan yang membolehkan beliau menjaga ibubapa dan membantu penduduk kawasan kampung yang berdekatan tempat beliau bekerja.
Pada tahun 1990, beliau telah diterima bekerja di Kilang Kelapa Sawit Sapi milik Kumpulan Wilmar. Kilang tersebut terletak di Kg. Ulu Sapi iaitu 160 km dari bandar Sandakan yang hanya dihubungi melalui jalan pembalakan (logging road). Kg. Ulu Sapi terletak tidak jauh dari Kg. Panimbanan dan Kg. Manduring di mana beliau di lahir dan dibesarkan.
Beliau sentiasa mendorong dan membantu penduduk kampung untuk mengusahakan tanah mereka dengan tanaman terutamanya kelapa sawit sebab ada pembeli yang tetap. Ramai di antara mereka yang sudah maju dengan usaha dan hasil dari tanaman kelapa sawit mereka.
Beliau juga memulakan perniagaan runcit dan stesen minyak atas nekad untuk terus membantu penduduk kampung yang tinggal jauh dari kemudahan infrastruktur dan kepesatan pembangunan. Impian dan hasrat ikhlas beliau ialah membantu penduduk-penduduk pedalaman agar dapat mengurangkan kos sara hidup dan tidak perlu berkunjung jauh untuk mendapatkan keperluan mereka seperti yang dialami oleh ibu bapa beliau.
Pada tahun 2006 beliau berhenti dari jawatan Senior Mill Manager di Syarikat Wilmar. Keputusan ini amat sukar namun ia membolehkan beliau melibatkan diri secara penuh masa dalam impian untuk membantu penduduk luar bandar dengan lebih komprehensif. Beliau merasa sedih selepas melihat kesusahan hidup penduduk-penduduk kampung di kawasan Paitan dan Sugut semasa beliau ditugaskan oleh Syarikat Wilmar untuk membina sebuah kilang minyak sawit di Sri Kamusan pada tahun 2000.
Beliau membuat keputusan dalam tahun 2010 untuk menyertai pergerakan politik selepas menyedari ia adalah satu landasan yang berkesan membantu penduduk pedalaman. Kerajaan menyediakan pelbagai peruntukan setiap tahun untuk pembangunan dan kesejahteraan rakyat yang disalurkan kepada wakil rakyat di daerah masing-masing. Namun pada hakikatnya penggunaan peruntukan tidak sepertimana yang diharapkan oleh beliau selepas menyedari bahawa setiap wakil rakyat mempunyai masalah dan agenda yang berlainan.
Beliau melaksanakan program bantuan jangka pendek termasuk memberi bekalan keperluan makanan, ubat-ubatan dan membaiki tempat tinggal. Beliau turut memberi ceramah-ceramah motivasi dengan harapan mereka dapat memantapkan minda dan kesungguhan untuk berdikari. Namun program tersebut tidak dapat mengubah kehidupan mereka dan ianya sangat mencabar dan membebankan dengan kedudukan sumber kewangan dan tenaga manusia yang beliau miliki ketika itu.
Beliau mendapat ilham untuk melakukan program penanaman ubi kayu berdasarkan konsep ‘ajar’ dia memancing dan kamu memberi dia makanan seumur hidup. Program ini berjaya dilaksanakan di kawasan Kota Marudu, Pitas, Paitan, Sugut dan Telupid selama tiga tahun. Ianya dilaksanakan dengan membekalkan batang ubi secara percuma dan penduduk kampung diajar cara untuk menanamnya. Beliau membeli hasil ubi kayu dari mereka, memprosesnya dan dijual sebagai baja makanan ternakan. Program ini sangat mencabar! Beliau terpaksa menghentikan program ini atas sebab kekangan dana, tenaga manusia, pengangkutan, pemprosesan dan infrastruktur. Ianya dilaksanakan tanpa bantuan kerajaan, penglibatan pihak swasta atau sokongan institusi kewangan.
Impian beliau untuk membantu anak-anak penduduk kampung yang tinggal terlalu jauh di pedalaman untuk ke sekolah telah di kabuli Tuhan Maha Esa pada tahun 2018. Namun proses yang dilalui untuk mencari penaja dan bantuan dari pihak kerajaan, swasta atau orang perseorangan adalah sangat mencabar. Beliau bersyukur akhirnya berjaya membina sebuah asrama untuk anak-anak yang memerlukan di Kampung Ulu Sapi yang berdekatan dengan Sekolah Kebangsaan Ulu Sapi dan Sekolah Menengah Ulu Sapi dengan bantuan Gereja Methodist Kuala Lumpur.
Kesimpulan yang beliau perolehi dari usaha dan pengalaman membantu penduduk pedalaman ialah Sabah memerlukan pemimpin-pemimpin baru yang ikhlas hati, impian murni dan dapat melaksanakan program untuk membantu mereka keluar dari garis kemiskinan. Maka dengan impian, nekad dan kejujuran diri, beliau menubuhkan Parti Impian Sabah pada tahun 2023 untuk membawa nafas baru kepada Sabah.